Himpunan bantah bayaran parking

July 1, 2008 on 12:01 pm | In Isu Setempat | No Comments

Satu himpunan untuk membantah bayaran parking kereta di Pekan Sg Besi akan diadakan pada Selasa 1 Julai 2008 di hadapan pejabat Pos Pekan Sg Besi pukul 2 petang. Malam tadi semasa lawatan AJK Harian Kawasan ke cawangan Desa Tasik dan Pekan Sg Besi, saya dimaklumkan yang pihak DBKL telah mendirikan mesin untuk pembayaran Parking di Pekan Sg Besi. Tetapi setakat ini belum ada lagi notis yang dikeluarkan bila akan bermulanya pembayaran tersebut. Setakat ini tiada bayaran letak kereta yang dikenakan.
Semua warga Sg Besi diharap dapat hadir untuk menyatakan bantahan dan bersama-sama memikirkan apa yang perlu dilakukan untuk menghalang pihak BDKL menguatkuasakan peraturan baru ini.

Alahai Zaharin

April 8, 2008 on 3:52 pm | In Isu Setempat | No Comments

Artikel dibawah saya ambil dari Blog Kickdefella :

“Blogger pertama di pecat oleh UMNO, Zaharin Mohd Yassin atau terkenal dengan nama penanya, Sang Kelembai telah kembali ke pangkuan Abdullah Ahmad Badawi.
Sumber dari dalam UMNO menyatakan Sang Kelembai telah menemui Pak Lah setelah di bawa oleh seorang Ketua Bahagian UMNO. Selepas pertemuan tersebut, Pak Lah dan Zaharin kelihatan menangis.
Kembalinya Zaharin yang merupakan pengkritik hebat Pak Lah menerusi artikel-artikel Kerajaan Tiga Beranaknya di juruterakan oleh Tengku Adnan, Setiausaha Agung UMNO.
Sementara itu, di Sabah, Zaharin dilihat memeluk dan mencium Pak Lah serta melafazkan mohon maafnya di hadapan khalayak ramai.
Sumber dari dalam UMNO juga mengesahkan bahawa ‘kos’ membawa pulang Zaharin ke pangkuan Pak Lah dikatakan mencecah RM1 juta.
Kickdefella, mendoakan Zaharin akan berjaya di dalam usahanya menyatukan orang Melayu bersama Pak Lah. Saya percaya, Zaharin telah memikir semasak-masaknya hal ini dan Zaharin yakin ini adalah pilihan terbaik buatnya.”

PAS BTR pernah menjemput Zaharin ini ke markas PAS kawasan untuk program penerangan dalam usaha mencungkil rahsia strategi musuh di BTR. Malahan ucapannya pernah kami paparkan di blog ini.
Kalau betullah apa yang tuliskan oleh kickdefella, memanglah mamat ni langsung tidak boleh dipercayai. dah dasar orang UMNO macam tu gamaknya. Sanggup menjual perjuangan dan prinsip demi untuk dunia yang sedikit. Semoga Allah memelihara kita semua dari dugaan dunia yang boleh membuatkan kita gugur dalam perjuangan menegakkan ugamaNya.

Ujang SWTSU.

Mari kenali calun BN Putrajaya

March 6, 2008 on 9:14 am | In Isu Setempat | No Comments

KUALA LUMPUR, 6 Mac (Hrkh) - Ramai yang pasti khususnya pengundi di Parlimen Putrajaya mengenali Menteri Pelancongan Tengku Adnan Mansor yang terkenal dengan kenyataan ‘kontroversi’ yang keluar dari mulut seorang muslim yang mengikuti konsep Islam Hadhari.

Beliau secara bijak telah mengeluarkan idea yang amat ‘bernas’ iaitu mencadangkan kepada kerajaan pimpinan Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk melanjutkan masa berhibur di pusat-pusat hiburan sampai pukul 5.00 pagi.

Lebih mengejutkan, beliau tanpa rasa segan mahukan kerajaan Barisan Nasional (BN) menurunkan cukai arak, supaya harga arak di pasaran menjadi lebih rendah.Kedua-dua alasan ini motifnya untuk pelancongan.

Dua idea ‘mantap’ ini seolah-olah cuba menjadikan negara ini ’syurga arak’ dan ’syurga hiburan’ yang akan menyebabkan ramai pelancong-pelancong dari luar negeri berduyun-duyun akan berkunjung ke Malaysia untuk menikmati syurga-syurga tersebut.

Bagaimana idea ‘kartun’ ini telah dibantah keras oleh PAS termasuk Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) Islam lantaran ianya akan mendatangkan musibah besar kepada membiaknya keruntuhan akhlak dan gejala sosial yang membarah kepada rakyat Malaysia khususnya remaja dan umat Islam.

Walau apa pun, para pengundi perlu mengenali siapa Adnan yang mempunyai idea bernas ini supaya boleh menilai sama ada beliau layak sekali lagi untuk menerajui tampuk kepimpinan khasnya dalam bidang pelancongan hatta sebagai seorang ahli parlimen sekalipun.

Adnan telah dilahirkan di negeri Melaka pada 20hb Disember 1950 pada jam 6.10 pagi dengan surat pendaftaran lahirnya bernombor 100502.

Ketika beliau dilahirkan, namanya ialah Adnan bin Mansor manakala pada tahun 1962, ketika beliau berusia 12 tahun, Adnan mulai memiliki kad pengenalan bernombor 4079409 atas nama sama seperti yang terdapat dalam surat beranak malah ketika menukar kad pengenalan bagi memenuhi kehendak undang-undang pada tahun 1969 namanya masih lagi kekal sebagai Adnan bin Mansor.

Tetapi, pada 3hb Oktober 1972, Adnan telah mengubah namanya menjadi Tengku Adnan bin Tengku Mansor dan telah membuat akuan bersumpahnya bahawa beliau berasal dari Keluarga DiRaja Melaka.

Adnan merupakan seorang taukeh Sport Toto Malaysia yang diasaskan pada tahun 1969 dengan nama asalnya Unilite Electrical Indusries Berhad.

Pada tahun 1987, syarikat ini bertukar nama kepada Far East Asset Berhad dan dalam penstrukturan semula pada tahun 1992, ia diambialih oleh Berjaya Group dan dikenali sebagai Berjaya Sport Toto Berhad.

Adnan mempunyai saham dalam Berjaya Group Berhad yang memiliki Sport Toto sebanyak 3.5 juta saham melalui syarikatnya yang bernama Cimsec Nominees. Ini menjadikan Adnan terlibat dalam industri perjudian Sport Toto melalui pegangan sahamnya dalam Berjaya Group Berhad.

Sport Toto mempunyai 681 rangkaian kedai judi di seluruh negara dan mempunyai dua syarikat perjudian di luar negara iaitu Philippines Berjaya Toto dan pada tahun 1997 membantu kerajaan Ghana menyusun kegiatan loteri di negara berkenaan.

Adnan dan kerajaan Pahang pada satu ketika dahulu melalui syarikat PASDEC Holding Berhad pernah memiliki saham dalam Bukit Tinggi Resort Berhad milik penuh Vincent Tan yang bergiat dalam kegiatan berjudi ‘mesin slot’, tetapi disebabkan oleh bantahan orang ramai, maka Adnan melepaskan pegangannya dalam bentuk saham dan kerajaan Pahang menjual sahamnya pada 23hb Mei 2003.

Apapun sepatutnya Adnan sedar akan kenyataan yang dikeluarkan oleh Mufti Kerajaan Perak, Dato’ Seri Harussani Zakaria bahawa orang Melayu-Islam telah membelanjakan RM4 bilion setahun untuk minum arak dan berjudi dan situasi gawat umat Islam ini sangat-sangat membimbangkan.

Sungguhpun begitu terpulanglah kepada para pengundi untuk mebuat penentuan di hari pengundian 8 Mac ini untuk membuat pilihan yang betul dan tepat dalam soal memilih pemimpin.

komen untuk ‘pengundi bijak’

March 5, 2008 on 5:44 pm | In Isu Setempat | No Comments

seorang yang menggunakan nama ‘pengundi bijak’ telah menulis kepada ruangan surat pembaca di Berita Harian bertarikh 5/02/2008 mengatakan PAS menggunakan orang luar untuk bekerja di Putrajaya sedangkan BN menggunakan orang tempatan untuk berkempen bagi pihak mereka. Beliau juga mengatakan warga tempatan lebih tahu akan masalah setempat terutamanya ketiadaan pendidikan ugama seperti SAR dan tadika islam di Putrajaya. Tengku Adnan telah lama mengusahakan untuk mengadakannya tulisnya lagi.

Untuk pengetahuan ‘pengundi bijak’, memang pun yang bekerja untuk calun PAS disini adalah kebanyakannya ahli-ahli PAS yang datang dari luar Putrajaya. PAS kawasan Bandar Tun Razak, Lembah Pantai, Cheras dan Segambut telah diarahkan untuk membantu calun PAS di Putrajaya ini. Tidak ramai orang-orang Putrajaya yang berani kedepan untuk berkempen kerana mereka merupakan pegawai-pegawai kerajaaan yang telah diugut akan diarahkan keluar dari kuarters yang mereka duduki sekiranya mereka menyokong PAS. Kami yang bersusah payah memasang pancang,poster dan bill board bukannya seperti BN yang bagi kontrak kepada kroni-kroni mereka yang mana mat-mat bangla yang pasang untuk mereka.

Walaupun kami datang dari luar, tapi isu-isu tetap sama. Isu kenaikan harga minyak, harga barang-barang keperluan hidup dan kadar jenayah dirasai oleh semua orang termasuk di Putrajaya. Rakyat seluruh Malaysia menjadi mangsa atas penyelewangan dan kelemahan pentadbiran Pak Lah. Isu ini semua adalah isu nasional.

Berkenaan isu pendidikan ugama, apa betul pemegang saham judi (mungkin telah dijual) ini betul-betul nak memperjuang ugama di Putrajaya? Mana mungkin orang yang bergelumang dengan judi dan hiburan yang melampau ada masa untuk memikirkan hal-hal agama seperti ini. 

Saya mencadangkan ‘pengundi bijak’ menggunakan kebijaksanaannya untuk membuat perubahan dengan mengundi calun PAS. Bersama kearah kerajaan yang adil, bersih dan berkebajikan.

Ujang SWTSU.

Untuk Renungan

December 19, 2007 on 2:22 pm | In Isu Setempat | No Comments
Berikut adalah surat pembaca yang telah dipaparkan di Harakah daily yang mana peristiwa ini berlaku di Kawasan Bandar Tun Razak. Mungkin boleh diambil iktibar darinya.  

Cerita peniaga nasi lemak dan penguatkuasa DBKL

Qari Bumi, Cheras 
Di Bandar Tun Razak, Cheras, ada seorang peniaga Melayu Islam yang sudah tujuh tahun berniaga warung nasi lemak. 

Nasi lemak Mak Ton sangat sedap, sangat murah dan penjualnya sangat ramah dan baik hati, jujur dan amanah. Kita boleh minta sambal lebih, minta timun lebih atau kacang lebih; semua permintaan dilayan. Beliau memenuhi semua kriteria seorang peniaga Islam seperti yang disyariatkan Allah.

Warung Mak Ton terletak bertentangan dengan kedai mamak di hadapan Pusat Komuniti Bandar Tun Razak, di bawah pokok besar. Pusat komuniti itu dekat dengan stesen LRT Bandar Tun Razak.

Saya sendiri sudah 2 tahun membeli nasi lemak beliau, sangat kerap dalam seminggu. Hari itu, sedang saya memilih bahagian ayam untuk dimakan, datanglah lori DBKL dengan hampir 15 orang lelaki yang gagah-gagah. Ada yang memakai rantai leher, bermuka samseng, membuli orang tua ini. Mereka memberikan tiket saman, dan mengugut akan menyita warung makan Mak Ton.

Alangkah teruknya tingkah laku mereka. Tiada belas kasihan, bertindak seperti samseng terhadap seorang perempuan separuh usia yang menjual nasi lemak di bawah pokok, di tepi jalan. Sepanjang dua tahun membeli nasi lemak Mak Ton, saya belum pernah tersangkut di dalam kesesakan lalu lintas, belum pernah ada masalah parking di situ.

Pendek kata, warung Mak Ton tidak pernah memberi saya sebarang masalah. Cuma mereka (DBKL) cuba memindahkan para peniaga di Cheras ke Pusat Komuniti Bandar Tun Razak yang tidak ramai pengunjung, tetapi mengenakan sewa bulanan mencecah RM1,700 sebulan.

Di sini, saya telah melihat ramai peniaga Melayu yang berpotensi ‘terbunuh’ apabila tidak mampu membayar sewa. Pengunjung sangat kurang berbanding tempat asal perniagaan mereka sebelum ini.

Saya kagum bagaimana Mak Ton berhadapan dengan pihak penguasa DBKL. Dia bersabar, profesional terhadap pelanggan walaupun menghadapi dugaan tersebut. Saya bertanya pada Mak Ton: “Macam mana ni Mak Ton?” Jawab beliau tegas: “Kita balas zalim dengan undi kita besok.”

Saya teringat sepotong ayat al-Quran yang bermaksud: “Jangan kamu cenderung terhadap orang yang zalim, kelak kamu disambar api neraka.”

Markas Cawangan Kg M’sia Tambahan berpindah

November 5, 2007 on 12:25 pm | In Isu Setempat | No Comments

Sedih. Itulah perasaan saya apabila dimaklumkan yang markas Pas Cawangan Kg Malaysia Tambahan terpaksa dipindahkan dari rumah arwah Hj Malik ke rumah ketua cawangan, Tn Hj Latif Sihi. Sedih bukan disebabkan perpindahan itu tetapi sedih disebabkan sebab kenapa perpindahan itu berlaku. Ada dikalangan ahli keluarga arwah Hj Malik yang tidak merestui rumah arwah dijadikan markas pas. Itulah sebab utama perpindahan ini terpaksa dilakukan. Sepatutnya kita sebagai anak-anak menyambung perjuangan yang telah dirintis oleh ibubapa kita bukannya sebaliknya. Apa nak buat, bak kata kumpulan Raihan, iman bukan boleh diwarisi. Semoga semua ahli-ahli pas cawangan akan terus tabah dalam mengharungi perjuangan yang getir ini. Inilah antara mehnah dan tribulasi perjuangan yang terpaksa dihadapi disebabkan kewangan yang terhad dan halangan-halangan dari pemerintah yang zalim.

Next Page »