Buletin tarbiyyah

July 23, 2008 on 5:35 pm | In Tazkirah | 1 Comment

Dibawah ialah buletin tarbiyyah yang dikeluarkan oleh Lajnah Tarbiyyah Dewan Pemuda Pas Wilayah untuk tatapan kita semua.

buletin tarbiyyah julai 08

Himpunan bantah bayaran parking

July 1, 2008 on 12:01 pm | In Isu Setempat | No Comments

Satu himpunan untuk membantah bayaran parking kereta di Pekan Sg Besi akan diadakan pada Selasa 1 Julai 2008 di hadapan pejabat Pos Pekan Sg Besi pukul 2 petang. Malam tadi semasa lawatan AJK Harian Kawasan ke cawangan Desa Tasik dan Pekan Sg Besi, saya dimaklumkan yang pihak DBKL telah mendirikan mesin untuk pembayaran Parking di Pekan Sg Besi. Tetapi setakat ini belum ada lagi notis yang dikeluarkan bila akan bermulanya pembayaran tersebut. Setakat ini tiada bayaran letak kereta yang dikenakan.
Semua warga Sg Besi diharap dapat hadir untuk menyatakan bantahan dan bersama-sama memikirkan apa yang perlu dilakukan untuk menghalang pihak BDKL menguatkuasakan peraturan baru ini.

Pengorbanan perasaan paling sukar

June 24, 2008 on 9:51 am | In Tazkirah | No Comments

Apabila saya membaca tulisan Muna Izzah terhadap bapanya Ustaz Fadhil Noor di Harakah Daily sempena genap 6 tahun pemergian Al-Marhum Presiden Pas, hati saya tumpang sedih dan akur tentang ungkapan beliau “Pengorbanan perasaan yang paling sukar dilakukan” dalam perjuangan dalam Pas ini. Berdasarkan pengalaman lebih 10 tahun berada dalam Pas dan perjuangan ini, saya amat setuju dengan ungkapan ini. Tidak telalu payah untuk berkorban wang ringgit, harta, tenaga dan masa jika dibandingkan dengan perngorbanan perasaan.

Kecewa dan sedih kerana program yang kita anjurkan tidak mendapat sambutan seperti yang diharapkan adalah antara perkara yang sering terjadi. Walaupun banyak masa, tenaga yang ditaburkan untuk menjayakan sesuatu program, tetapi kesudahannya tidak seperti yang diharapkan. Komitmen dari kawan-kawan dan ahli-ahli pas selalunya begitu mengecewakan.

Sabtu lalu kami Dewan Pemuda telah menganjurkan perlawanan persahabatan bola sepak diantara Pemuda PAS BTR dengan Pemuda PAS Wilayah. Pemuda PAS Wilayah telah membatalkan kehadiran mereka sehari sebelum perlawanan. Pada petang Sabtu itu pula kehadiran begitu menyedihkan! hanya dalam 6 orang. Nak main bola macam mana dengan 6 orang sahaja tambahan pula kaki saya sakit dan tidak dapat bermain. Banyak AJK pemuda yang tidak hadir tanpa memberi alasan. Yang berjanji nak turun dengan team bola masing-masing, tidak datang dan memungkiri janji. “ini baru ajak main bola, belum lagi buat program yang lain” rungut ketua Pemuda. Sehinggakan beliau bersungut dan mahu meletakkan jawatan pada masa itu. Saya hanya mampu menjadi pendengar yang setia. Walaupun duit (sewa padang dan beli bola) telah dibazirkan, tetapi rasa kekecewaan itu lebih besar dan pedih untuk ditanggung.

Pada malamnya pula saya pergi ke Sri Perindu dalam rangka lawatan AJK harian kawasan ke cawangan-cawangan. Kehadiran ahli-ahli pas cawangan ok,agak memberangsangkan tetapi kehadiran AJK harian Kawasan begitu mengecewakan. Hanya YDP, TYD dan Ketua Penerangan sahaja yang hadir. Mana yang lain? (ada 10 AJK harian semuanya). Adakah mereka semua ada hal yang lebih penting? Setelah selesai program, saya pulang tanpa mahu bertanyakan perkara tersebut kepada YDP. Saya tidak tahu apa perasaan YDP atas kehadiran AJK Harian yang mengecewakan itu.

Terlalu banyak contoh-contoh yang boleh diberi dimana ianya mengundang pengorbanan perasaan terutamanya apabila ia membabitkan komitmen ahli-ahli pas. Kadang-kadang kita di kritik di dalam mesyuarat kerana tidak buat program tetapi apabila program dibuat, sambutannya selalunya mengecewakan. Dan kadang-kadang kita pula disalahkan atas kegagalan tersebut.

Pernah terkeluar satu ungkapan yang pernah diluahkan oleh seorang AJK Pas satu ketika dulu (yang menjadi ungkapan mainan kami di Pemuda satu ketika dulu), “aku buat shorang-shorang”. AJK ini merasa sedih kerana terpaksa membuat program secara berseorangan tanpa mendapat pertolongan yang diharapkan dari kawan-kawan yang lain.

Mungkin ini adalah salah satu sebab besar kenapa ramai ahli-ahli Pas yang pernah memegang jawatan dalam organisasi ini futur (kecewa dan menghilangkan diri). Mereka gagal dalam menangani pengorbanan perasaan. Hanya berbekalkan keyakinan yang tinggi terhadap ALLAH dimana setiap apa yang kita lakukan dalam usaha untuk menegakkan agama ALLAH dan mencari Keredhaan Nya akan mendapat ganjaran yang besar daripadaNya, itulah saja yang memberi kekuatan untuk kita terus berusaha dan berada dalam saf perjuangan ini walaupun kegagalan demi kegagalan yang mendatang.

Ujang SWTSU.

kalah itu nikmat?

May 8, 2008 on 3:03 pm | In Tazkirah | No Comments

“Kekalahan adalah nikmat, kemenangan adalah ujian”. Lain macam je bunyi nya. bukan sepatutnya “kekalahan adalah ujian sementara kemenangan adalah nikmat”.  Pelik tetapi itulah antara intipati ucapan ceramah yang telah disampaikan oleh Ahli Parlimen Jerai, YB Ust Firdaus Jaafar pada malam Isnin yang lalu di Surau Ehsaniah, Taman Bukit Anggerik. Beliau menjelaskan bahawa apabila kalah kita tidak perlu bersusah payah sangat untuk sentiasa turun bersama rakyat dalam apa sahaja program atau perkara yang melibatkan rakyat. Ini merupakan nikmat kerana tanggung jawab yang dipikul tidaklah terlalu berat. Tetapi apabila sudah menang, tanggung jawab yang terpaksa dilaksanakan adalah terlalu berat yang membuat beliau sentiasa sibuk untuk sentiasa melihat apa yang berlaku di kawasan beliau. Ini merupakan ujian yang terpaksa dilalui apabila sudah bergelar wakil rakyat.

YB Ust Firdaus juga menceritakan akan kejayaan kerajaan negeri PAS Kedah menghalang dari perkhidmatan air dari diswastakan. Pengswastaan ini didalangi oleh UMNO BN pada pemerintahan yang lalu yang akan menyebabkan kerajaan Kedah akan kerugiaan berjuta-juta ringgit setiap tahun. Beliau juga menceritakan perihal salah guna kuasa dan rasuah UMNO BN dalam hal pembahagian tanah-tanah hutan untuk pembalakan kepada tokeh-tokeh balak.    

Syabas diucapkan kepada PAS Kedah dan kepada Ust Firdaus. Semoga berjaya mentadbir negeri dengan baik.

Ujang SWTSU. 

Alahai Zaharin

April 8, 2008 on 3:52 pm | In Isu Setempat | No Comments

Artikel dibawah saya ambil dari Blog Kickdefella :

“Blogger pertama di pecat oleh UMNO, Zaharin Mohd Yassin atau terkenal dengan nama penanya, Sang Kelembai telah kembali ke pangkuan Abdullah Ahmad Badawi.
Sumber dari dalam UMNO menyatakan Sang Kelembai telah menemui Pak Lah setelah di bawa oleh seorang Ketua Bahagian UMNO. Selepas pertemuan tersebut, Pak Lah dan Zaharin kelihatan menangis.
Kembalinya Zaharin yang merupakan pengkritik hebat Pak Lah menerusi artikel-artikel Kerajaan Tiga Beranaknya di juruterakan oleh Tengku Adnan, Setiausaha Agung UMNO.
Sementara itu, di Sabah, Zaharin dilihat memeluk dan mencium Pak Lah serta melafazkan mohon maafnya di hadapan khalayak ramai.
Sumber dari dalam UMNO juga mengesahkan bahawa ‘kos’ membawa pulang Zaharin ke pangkuan Pak Lah dikatakan mencecah RM1 juta.
Kickdefella, mendoakan Zaharin akan berjaya di dalam usahanya menyatukan orang Melayu bersama Pak Lah. Saya percaya, Zaharin telah memikir semasak-masaknya hal ini dan Zaharin yakin ini adalah pilihan terbaik buatnya.”

PAS BTR pernah menjemput Zaharin ini ke markas PAS kawasan untuk program penerangan dalam usaha mencungkil rahsia strategi musuh di BTR. Malahan ucapannya pernah kami paparkan di blog ini.
Kalau betullah apa yang tuliskan oleh kickdefella, memanglah mamat ni langsung tidak boleh dipercayai. dah dasar orang UMNO macam tu gamaknya. Sanggup menjual perjuangan dan prinsip demi untuk dunia yang sedikit. Semoga Allah memelihara kita semua dari dugaan dunia yang boleh membuatkan kita gugur dalam perjuangan menegakkan ugamaNya.

Ujang SWTSU.

Mari kenali calun BN Putrajaya

March 6, 2008 on 9:14 am | In Isu Setempat | No Comments

KUALA LUMPUR, 6 Mac (Hrkh) - Ramai yang pasti khususnya pengundi di Parlimen Putrajaya mengenali Menteri Pelancongan Tengku Adnan Mansor yang terkenal dengan kenyataan ‘kontroversi’ yang keluar dari mulut seorang muslim yang mengikuti konsep Islam Hadhari.

Beliau secara bijak telah mengeluarkan idea yang amat ‘bernas’ iaitu mencadangkan kepada kerajaan pimpinan Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk melanjutkan masa berhibur di pusat-pusat hiburan sampai pukul 5.00 pagi.

Lebih mengejutkan, beliau tanpa rasa segan mahukan kerajaan Barisan Nasional (BN) menurunkan cukai arak, supaya harga arak di pasaran menjadi lebih rendah.Kedua-dua alasan ini motifnya untuk pelancongan.

Dua idea ‘mantap’ ini seolah-olah cuba menjadikan negara ini ’syurga arak’ dan ’syurga hiburan’ yang akan menyebabkan ramai pelancong-pelancong dari luar negeri berduyun-duyun akan berkunjung ke Malaysia untuk menikmati syurga-syurga tersebut.

Bagaimana idea ‘kartun’ ini telah dibantah keras oleh PAS termasuk Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) Islam lantaran ianya akan mendatangkan musibah besar kepada membiaknya keruntuhan akhlak dan gejala sosial yang membarah kepada rakyat Malaysia khususnya remaja dan umat Islam.

Walau apa pun, para pengundi perlu mengenali siapa Adnan yang mempunyai idea bernas ini supaya boleh menilai sama ada beliau layak sekali lagi untuk menerajui tampuk kepimpinan khasnya dalam bidang pelancongan hatta sebagai seorang ahli parlimen sekalipun.

Adnan telah dilahirkan di negeri Melaka pada 20hb Disember 1950 pada jam 6.10 pagi dengan surat pendaftaran lahirnya bernombor 100502.

Ketika beliau dilahirkan, namanya ialah Adnan bin Mansor manakala pada tahun 1962, ketika beliau berusia 12 tahun, Adnan mulai memiliki kad pengenalan bernombor 4079409 atas nama sama seperti yang terdapat dalam surat beranak malah ketika menukar kad pengenalan bagi memenuhi kehendak undang-undang pada tahun 1969 namanya masih lagi kekal sebagai Adnan bin Mansor.

Tetapi, pada 3hb Oktober 1972, Adnan telah mengubah namanya menjadi Tengku Adnan bin Tengku Mansor dan telah membuat akuan bersumpahnya bahawa beliau berasal dari Keluarga DiRaja Melaka.

Adnan merupakan seorang taukeh Sport Toto Malaysia yang diasaskan pada tahun 1969 dengan nama asalnya Unilite Electrical Indusries Berhad.

Pada tahun 1987, syarikat ini bertukar nama kepada Far East Asset Berhad dan dalam penstrukturan semula pada tahun 1992, ia diambialih oleh Berjaya Group dan dikenali sebagai Berjaya Sport Toto Berhad.

Adnan mempunyai saham dalam Berjaya Group Berhad yang memiliki Sport Toto sebanyak 3.5 juta saham melalui syarikatnya yang bernama Cimsec Nominees. Ini menjadikan Adnan terlibat dalam industri perjudian Sport Toto melalui pegangan sahamnya dalam Berjaya Group Berhad.

Sport Toto mempunyai 681 rangkaian kedai judi di seluruh negara dan mempunyai dua syarikat perjudian di luar negara iaitu Philippines Berjaya Toto dan pada tahun 1997 membantu kerajaan Ghana menyusun kegiatan loteri di negara berkenaan.

Adnan dan kerajaan Pahang pada satu ketika dahulu melalui syarikat PASDEC Holding Berhad pernah memiliki saham dalam Bukit Tinggi Resort Berhad milik penuh Vincent Tan yang bergiat dalam kegiatan berjudi ‘mesin slot’, tetapi disebabkan oleh bantahan orang ramai, maka Adnan melepaskan pegangannya dalam bentuk saham dan kerajaan Pahang menjual sahamnya pada 23hb Mei 2003.

Apapun sepatutnya Adnan sedar akan kenyataan yang dikeluarkan oleh Mufti Kerajaan Perak, Dato’ Seri Harussani Zakaria bahawa orang Melayu-Islam telah membelanjakan RM4 bilion setahun untuk minum arak dan berjudi dan situasi gawat umat Islam ini sangat-sangat membimbangkan.

Sungguhpun begitu terpulanglah kepada para pengundi untuk mebuat penentuan di hari pengundian 8 Mac ini untuk membuat pilihan yang betul dan tepat dalam soal memilih pemimpin.

Next Page »