On macam biasa

May 30, 2008 on 10:04 am | In Aktiviti | No Comments

Dalam keadaan politik negara terutamanya politik UMNO BN yang tidak menentu, PAS BTR terus menjalankan aktiviti-aktivitinya seperti biasa. Biarlah Mahathir dengan agendanya, Ezam dengan perjuangannya yang semakin dipertikaikan, kami di BTR tetap dengan program-program yang terus dirancang samaada peringkat dalaman mahupun luaran.  

Pada hari Rabu lepas, kami telah mengadakan usrah gabungan di rumah Ketua Cawangan Kg Malaysia, Pak Ya. Usrah telah dinaqibkan oleh Ust Yusof Embong, Timbalan Pesuruh Jaya Pas Pahang. Beliau telah membentangkan perkara-perkara yang perlu dilakukan oleh ahli-ahli Pas terutamanya peringkat pimpinan dalam menangani kemenangan yang telah diraih dan yang akan menjelang tiba. Ahli-ahli Pas perlu sentiasa ditarbiyah dan diperingatkan dalam menjamin matlamat mencari keredhaan Allah dalam perjuangan dan bernegara tidak terpesong. Kalau tidak, perkara yang sama seperti perang Uhud akan berlaku dimana umat islam terpesona dengan harta ‘ghanimah’ dan meninggalkan kubu pertahanan menyebabkan umat islam kalah dalam peperangan tersebut. Harta ghanimah walaupun halal tetapi perlu diingatkan betapa perlunya pimpinan pas untuk hidup secara sederhana.

Bermula bulan hadapan, AJK PAS Kawasan akan mula membuat kunjungan ke cawangan-cawangan. Usrah dan tarbiyah akan menjadi intipati kunjungan tersebut. Dewan Pemuda pula juga akan turun ke cawangan-cawangan untuk bertemu dengan pemuda-pemuda diperingkat akar umbi. Barbeque dan futsal disamping diselitkan usrah dan kuliah adalah antara program yang telah dirancangkan untuk pertemuan tersebut.

Ujang SWTSU.

Kem remaja cuti sekolah

May 22, 2008 on 10:35 am | In Delima | No Comments

Surau Nurul Iman, Taman Minang Cheras akan menganjurkan program motivasi muslim dan bengkel pemantapan solat untuk anak-anak remaja berumur 9 tahun keatas. Program akan diadakan pada 24 Mei 2008 (Sabtu) di surau ini bermula pukul 8:30 pagi hingga 2:30 petang. Pendaftaran sebanyak RM5 dikenakan untuk setiap orang. Minum pagi dan makan tengahari disediakan. 

Hubungi mana-mana AJK surau untuk pendaftaran atau hubungi Pengerusi surau di 0192865611. Sila buat pendaftaran secepat mungkin untuk memudahkan pengurusan.

Usul untuk Pas Pusat

May 21, 2008 on 11:20 am | In Pemuda | No Comments

Apabila saya membaca harakah daily ruangan nasional & semasa yang mana salah satunya ialah berkenaan mesyuarat agung Pas Kawasan Temerloh, saya teringat perkara yang sama berlaku kepada saya dan sahabat-sahabat Pemuda dalam 5 atau 6 tahun lepas di mana ketika itu saya memegang jawatan AJK Dewan Pemuda Pas Kawasan BTR. Pas Kawasan Temerloh telah mengusulkan agar Jawatan Pesuruhjaya(PJ) negeri-negeri dipilih dalam mesyuarat agung negeri. Seperti yang kita sedia maklum, kuasa melantik PJ negeri-negeri dan Wilayah Persekutuan(KL) adalah terletak dibawah kuasa penuh Presiden dan tiada mesyuarat agung bagi badan perhubungan negeri sedangkan untuk dewan-dewan ada pula mesyuarat agung di peringkat negeri.  

Dewan pemuda Pas BTR pada ketika itu telah mengusulkan agar Jawatan PJ dipertandingkan dan akan dipilih oleh ahli-ahli Pas di Kawasan. Badan Perhubungan ada mesyuarat agungnya sendiri dimana ahli-ahli Pas dikawasan-kawasan berpeluang untuk bersoal jawab dengan PJ dan AJK nya. Tetapi malangnya usul tersebut telah ditolak mentah-mentah oleh AJK usul Dewan Pemuda Pas Wilayah. Pada masa itu Pemuda Pas BTR merasakan perlunya PJ yang ada ditukar setelah sekian lama memegang jawatan tersebut. Kami berpendapat PJ yang dilantik perlu mendapat sokongan akar umbi ahli dan bukannya mengikut rasa presiden semata-mata.

Saya menyokong sepenuhnya usul yang dibawa oleh Pas Temerloh. Sudah tiba masanya untuk perkara ini diperbincangkan diperingkat pusat supaya orang yang benar-benar diterima akar umbi sahaja yang akan dipilih sebagai PJ. 

Program turun ke cawangan

May 15, 2008 on 1:54 pm | In Lawatan | No Comments

Dalam mesyuarat AJK Pas Kawasan Selasa lalu, antara keputusan yang diambil ialah pelaksanaan program tarbiyyah dan memperkasakan ahli-ahli dan cawangan-cawangan Pas yang ada di Bandar Tun Razak. AJK Harian Pas kawasan bersama-sama lajnah tarbiyyah dan ekonomi akan turun ke setiap cawangan-cawangan Pas untuk bertemu dan beramah mesra dengan seramai mungkin ahli-ahli pas yang ada di cawangan-cawangan. Antara pengisian program tersebut ialah program akan dimulai dengan usrah dan tazkirah yang akan disampaikan oleh Ketua Urusan Ulama’, Ustaz Ibrahim Saad. Lajnah ekonomi yang diketuai oleh Tn Hj Najib kemudiannya akan memberikan ‘briefing’ tentang bagaimana untuk memperkuatkan ekonomi cawangan. Beliau juga akan membentangkan skim takaful wakaf dalam usaha Pas BTR mencari keewangan untuk membeli markasnya sendiri.  

Tarikh-tarikh lawatan ke cawangan-cawangan telah diedarkan kepada setiap ketua-ketua cawangan dan diminta ahli-ahli di cawangan bersiap sedia untuk menyambut kehadiran kami nanti. Ketua-ketua cawangan diminta untuk mengumpulkan semua ahli-ahli pas di cawangan tersebut untuk hadir kemajlis itu nanti. Sila hubungi Setiausaha Kawasan untuk maklumat lanjut.

Ujang SWTSU.

Kemenangan menjarakkan kita

May 12, 2008 on 2:17 pm | In Umum | 1 Comment

Dahulu semasa beliau tidak menjadi wakil rakyat, kami sentiasa berhubung. Beliau sentiasa sms saya bertanyakan kekosongan kuliah zohor di pejabat dan kekosongan khatib untuk menyampaikan khutbah di surau di rumah saya. Beliau sentiasa berulang alik dari Kedah ke KL untuk memberi kuliah-kuliah dan menghadiri program-program parti yang lain. Sekiranya beliau ada program di sekitar rumah saya di Cheras, biasanya beliau akan menghubungi saya bertanyakan khabar. Rapatnya kami sehinggakan saya dan keluarga saya menjadikan rumahnya di Sg Petani tempat kami lepak untuk satu percutian dalam 2 tahun yang lalu. Kami 2 keluarga bersama-sama berkelah makan tengahari di puncak gunung jerai. Makan tengahari ikan bakar bersama-sama di pinggiran Pekan Sg Petani.

Tapi itu semua hanya tinggal kenangan. Selepas menang dalam p/raya yang lalu, beliau sudah tidak pernah lagi menghubungi saya. KL hanya akan diziarahi apabila Parlimen bersidang. Beliau sibuk dengan program-program di kawasan beliau almaklumlah mempertahankan kemenangan lebih sukar dari meraih kemenangan . Memberi khutbah setiap jumaat di setiap masjid di kawasan beliau. Tidak perlu lagi turun ke KL.

 Mungkin ini adalah ”a price to pay for becoming an MP”. A price that we have to pay for winning the election. Kita menjadi terlalu sibuk. Kemenangan menjarakkan hubungan antara kita. Saya akur dan saya sedar. Semoga Allah sentiasa merahmati kita semua pejuang-pejuang islam dan menjauhkan diri kita dari sifat lupa diri dan lupa asal usul.

di puncak gunung jerai

Nasib baik Ust Yusof Embong kalah, kalau menang entah jadi macam tu juga kot?. Bagaimana dengan ustaz-ustaz yang lain?.  

Ujang SWTSU.  

Macam mana kita nie?

May 9, 2008 on 3:44 pm | In Umum | No Comments

Apabila saya membaca artikel “Tolong selamatkan Pusat Tarbiyyah Taman Melewar!” di laman web tranungkiteonline(TKO), saya rasa terpanggil nak membuat keluhan yang sama terhadap markas PAS ini.

Pada program ijtima’ PAS Wilayah pada Ahad lalu, saya dapati keadaan Dewan Dato’ Fadhil Noor kelihatan semakin buruk. Mata saya begitu sakit dengan keadaan sawang yang begitu bermaharaja lela di syiling dan di dinding-dinding Dewan tersebut. Sudah beberapa kali saya utarakan perkara tersebut kepada AJK Badan Perhubungan PAS Wilayah yang saya temui sebelum ini, tetapi tiada langsung tindakan yang diambil.

Tahun lepas semasa program Ihtifal Pasti Wilayah, saya juga ada komplen mengenai keadaan Dewan yang penuh dengan sawang sedangkan ramai orang luar yang bukan ahli PAS yang merupakan ibubapa pelajar-pelajar pasti yang menghadiri program itu. Saya rasa cukup malu kerana benda-benda seperti inipun gagal ditangani oleh PAS.

Tahun ini, besar kemungkinan seperti tahun-tahun lepas, majlis ihtifal Pasti Wilayah akan diadakan di sini, di Dewan Dato’ Fadhil Noor. Kalaulah keadaan yang sama masih tidak berubah, saya akan mencadangkan pada mesyuarat Pasti Wilayah nanti agar majlis ihtifal untuk tahun ini akan dibuat di tempat lain. Tetapi masalahnya, Pasti Wilayah akan terpaksa mengeluarkan belanja yang besar untuk menyewa tempat lain.     

Malam tadi semasa mesyuarat Dewan Pemuda PAS BTR, saya telah meminta kepada salah seorang AJK Pemuda BTR yang merupakan AJK Dewan Harian Pemuda PAS Wilayah agar membawa isu Dewan yang kotor ini kepada pengetahuan Dewan Pemuda PAS Wilayah agar tindakan sewajarnya diambil secepat mungkin.

Semoga perkara ini akan dapat diselesaikan secepat mungkin.

Ujang SWTSU.

Next Page »